28 Aug 2012
10:38

Fahaman Arkitektur

|
Kolumnis: Iskandar Shah



Fahaman ataupun ideologi merupakan sistem kepercayaan yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang. Pada lazimnya ia merujuk kepada sebuah kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakkan politik dan sosial. Menurut Ensiklopedia Brittanica, ideologi dimaksudkan sebagai “salah satu item yang membentuk keperluan mental dan jasmani individu yang membentuk sesebuah masyarakat serta meliputi permasalahan politik, sosial, ekonomi dan perkara yang bersangkut paut dengan sejarah dan sosio-geografi manusia”. Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menafsirkan maksud ideologi adalah “fahaman (ajaran) yang dipakai atau dicita-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain tujuan”.

Manakala fahaman pula membawa erti yang berbeza dengan ideologi. Di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga menyebut bahawa fahaman iaitu “pengetahuan, pemikiran, anggapan, pendapat dan kepercayaan seseorang terhadap sesuatu perkara”. Fahaman adalah sebahagian daripada sifat yang membentuk ideologi. Perbezaan antara fahaman dan ideologi adalah fahaman hanyalah pemikiran seorang yang menjadi tanggapan semata-mata yang mungkin menjadi atau tidak dalam pegangan masyarakat. Manakala, ideologi adalah gagasan idea yang membentuk pemikiran manusia terhadap sesuatu konsep dan dipegang oleh sebahagian manusia

Pemahaman tentang ideologi pula berbeza menerusi pandangan tokoh dan sarjana barat, sepertimana menurut Destertt de Tracy yang mendefinisikan Ideologi adalah pembelajaran terhadap idea-idea (pemikiran tertentu). Machiavelli pula berpendapat, Ideologi adalah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa. Ideologi adalah suatu cara untuk melindungi kekuasaan pemerintah agar dapat bertahan dan mengatur rakyatnya, (Thomas H). Menurut Karl Marx, Ideologi merupakan alat untuk mencapai kesamarataan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat. Wan Burhanuddin berpendapat, Ideologi (ISM)[1] merupakan fahaman yang satu, tanpa membenarkan fahaman selainNYa untuk di sandarkan.

Pengertian sesebuah fahaman adalah diperlukan sebagai prinsip sistem kehidupan setiap manusia. Sepertimana fahaman-fahaman yang menjadi akar sesebuah sistem pemerintahan misalnya, ‘demokratism’, doktrin atau kepercayaan kepada hak asasi sosial berbanding ‘komunisme’ yang menafikanya, berbeza pula dengan ‘diktatorisme’, yang menolak atau mengambil kedua-duanya. Bagi yang beraja, sama ada ‘monarkisme’ atau ‘feudalism’, tetap di amalkan. Fahaman juga disebabkan kepercayaan berpegang kepada sesuatu, seperti ‘teokrasisme’, yang mengambil agama sebagai batasan berbanding ‘sekularisme’, yang membataskan agama. Sehinggalah kepada perbandingan yang melibatkan sistem ekonomi seperti ‘kapitalisme’ dan ‘sosialisme’ yang masih di dukungi oleh fahaman-fahaman seperti di atas. Secara tidak langsung, telah pun diterima dan digunapakai oleh sekalian generasi manusia.

Alam Bina (Built Environment) juga tidak terkecuali dalam penyerpihan fahaman ini. Alam Bina yang dulunya telah mendisplinkan aktor-aktornya menerusi ilmu, alam dan ulama sebagai aturan prinsip, telah pun membentuk suatu fahaman sejagat dengan menyeluruh. Aktor-aktor pada waktu tersebut juga tidak terbina ilmu arkitekturnya hanya untuk bangunan, malah turut meliputi pelbagai bidang ilmu seperti falsafah, sains, kejuruteraan, kedoktoran, astronomi, ahli kitab dan sebagainya. Menerusi zaman revolusi dan industri, aturan ilmu tersebut telah mula dihakisi menerusi gerakan aktor-aktor pembina yang cuba untuk mendukung displin reka dan bina, tanpa mengambil fahaman keseluruhan seperti aturan sebelumnya. Sehinggalah fahaman itu mula diresapi menerusi doktrin perancangan sejagat[2].

Sehinggalah pada hari ini Alam Bina di fahami sebagai membina persekitaraan di dalam persekitaran alam semulajadi menerusi hasil ciptaan manusia sama ada dengan rekaan dan binaan untuk mengubah kondisi alam semula jadi, supaya lebih baik daripada ciptaan asalnya. Selanjutnya membuatkan suatu keperluan bagi manusia untuk sama-sama mengubah ciptaan persekitaran semulajadi yang telah pun terbina di seluruh muka bumi oleh Sang Pencipta.

Arkitektur pula adalah ilmu yang timbul dari celah-celah ilmu Alam Bina, yang kemudianya terdedah dengan keupayaan untuk memahami dan mendalami maksud di sebalik fahaman alam bina. Seterusnya membawa maksud yang kompleks dan subjektif untuk di fahami sama ada menerusi falsafah ataupun alamiahnya. Perbezaan di antara definisi arkitektur dan seni bina juga telah menjelaskan kontradiksi maksud menerusi pertembungan fahaman yang berbeza. Sematik misalnya, arkitektur telah di istilahkan sebagai Seni Bina, iaitu suatu ilmu yang khusus pemahamanya tentang seni binaan sesebuah bangunan, seterusnya difahami sebagai ilmu seni bina bangunan, telah membuatkan displin itu terserpih fahamanya.


Arkitektur, menurut Vitruvius menerusi bukunya De Architectura telah mengupas tentang Venustas, Firmitas dan Utilitas[3] di mana ia menekankan keseimbangan terhadap ketiga-tiga unsur tersebut[4]. Kemudianya, pertimbangan itu dilihat menerusi fungsi, estetika, dan psikologi sebagai unsur keseimbangan arkitektur. Inilah yang menjadi asas dan kepercayaan kita tentang arkitektur pada hari ini menerusi pendidikan dan praktisanya. Menerusi pendidikan alam bina juga, pengembangan ilmu arkitektur juga terkait dengan pautan fahaman-fahaman tertentu, menerusi ideologinya yang pelbagai. Sepertimana kejayaan sesuatu arkitektur adalah dari proses percubaanya menerusi kesilapan, atau pun ‘trial and error’/eksperimentasi, yang kelihatan berkurang percubaanya pada hari ini. Begitu juga dengan arkitektur yang dihasilkan mengikut keadaan setempat. Arkitektur vernakular misalnya, kemudianya direplikasi dan direproduksi tanpa konteks setempat, telah melebarkan jurang arkitektur dan alam semulajadi. Berbanding dengan arkitektur organik yang dianalogikan bentuknya menerusi alam semula jadi.

Arkitektur juga terpaut dengan batasan pelebaran jurang yang dipisahkan dengan konsep dan falsafah, menerusi pendekatan fahaman seperti rationalism, empiricism, brutalism, structuralism, plagiatrism dan banyak lagi. Juga yang terhasil menerusi zaman seperti modernism, postmodernism dan deconstructionsm yang menjadi fahaman kepada aturan dan arahan yang mempengaruhi gaya praktisan arkitektur pada hari ini. Begitulah pada hari ini, dengan fahaman untuk membaikpulih alam sekitar, arkitektur terhasil dengan nama ‘ecotecture’, ‘green building’ dan ‘sustainable architecture’ rancak digunapakai untuk melestarikan manusia dan alam. Tanpa disedari juga, arkitektur yang sejak zaman berzaman melalui praktisan profesional ini telah terhasil daripada perkataan seperti ‘form follow function’ (bentuk mengikut fungsi), atau pun ‘function follow form’ (fungsi mengikut bentuk), yang telah pun tertranformasi pemahamanya hari ini menerusi perkataan baru seperti ‘form follow client’ (bentuk mengikut klien) kini telah menjadi suatu fahaman di dalam arkitektur pada hari ini.

Walau dengan apa bidang sekali pun istilah itu mampu dipinjampakai, namun jika menepati ramalan masa hadapan akan terwujudnya suatu displin baru tanpa memerlukan pengelibatan arkitek secara total, atau dengan kata lainya arkitektur tanpa arkitek[5]. Arkitektur tanpa arkitek juga dimaksudkan sebagai suatu arkitektur/bangunan yang boleh dibina tanpa arkitek/pembina sebagai aktornya. Seperti wujudnya pada hari ini, tanpa displin khusus, sesebuah bangunan dapat di reka/bina oleh suri rumah/kontraktor dengan alatan dan perisian tertentu[6], tanpa pendidikan alam bina yang formal. Arkitektur tanpa arkitek juga boleh dikembangkan pemahamanya menerusi aturan kehidupan manusia seperti, anak tanpa ibu bapa, pelajar tanpa guru, perajurit tanpa jeneral atau rakyat tanpa pemimpin atau pun negara tanpa kerajaan. Atau perkataan ‘tanpa’ itu dimaksudkan sebagai ‘tidak memerlukan’, seperti penghasilan sesuatu produk menerusi mesin dan robot misalnya, tidak memerlukan manusia sebagai pekerja. Atau pun dimaksudkan perkataan ‘tanpa’ itu sebagai ‘tidak tahu’, ‘tidak memahami’, yang tidak mengerti tentang apa-apa. Maka adakah layaknya manusia itu untuk memecahkan aturan ‘manusia tanpa penciptaNya’.

Walaupun ramai yang masih belum dapat menerima hakikat ini, arkitektur yang telah tersejat ini telah pun tertranformasi daripada paksi alamiahnya, telah pun menjangkau ke luar bidang kelazimanya. Sementara itu arkitektur setempat kelihatannya masih terumbang-ambing dalam arus globalisasi. Arkitek setempat nampaknya masih lagi ralit dengan fahaman kebangsaan. Sepertimana globalisasi alam arkitektur menurut Betsky “Arkitektur tidak sekadar bangunan, ia adalah cara kita berfikir dan bercakap tentang bangunan, bagaimana untuk mewakili, membina, membentuk, dan menawarkan pilihan kritis kepada persekitaran manusia”[7]. Lebih umumnya, arkitektur adalah luas pengertianya malah dengan mendefinasikanya sebagai sebuah bangunan sahaja seperti menyempitkan kembali kefahaman yang menyeluruh itu. Sememangnya tidak terpisah arkitektur dengan alam bina, begitu juga manusia dengan arkitektur untuk terus hidup di dalam ruanglingkup alam semesta, saling terkait di antara satu sama lain.


Di sebabkan oleh arkitektur dan alam bina yang semakin terpisah dan dipisah-pisahkan, Alam Bina pada hari ini telah mengalami tranformasi pemisahan dengan wujudnya berbagai displin seperti perancang bandar, arkitek bangunan, jurutera (sivil, elektrikal dsb.) dan juru ukur bahan. Dari masa ke semasa juga ruanglingkup displin yang semakin mengecil ini dikecilkan lagi dengan wujudnya displin pereka fasad bangunan, pereka bentuk dalaman, pereka bangunan hijau, pengurus projek dan sebagainya. Tidak sahaja diperkecilkan dalam konteks alam bina, arkitektur juga diperkembangkan istilahnya di dalam industri pengkomputeran sehinggalah kepada pengatur strategi di padang bola sepak juga dinamakan sebagai arkitek. Sama ada sedar atau pun tidak, ia telah memecahkan arkitektur itu kepada berbagai golongan, yang terikat dengan serpihan fahaman masing-masing.

Begitulah pada hari ini, secara literalnya asas pemahaman manusia tidak lagi memerlukan kondisi kefahaman sejagat, yang seharusnya dibentuk menerusi akar benih asas ilmu.…... Secara tidak langsungnya, arkitektur itu pasti akan lenyap.





[1] ”Serpih dan Seluruh”, Wan Burhanuddin : Rekoleksi Falsafah, Seni Bina, Islam. Kertas untuk Profesional JKR Sempena Musabaqah Tilawatil Quraan 2002. Ibu Pejabat JKR, KL; dibentang di SEMINAR INTELEKTUAL HBP, USM, 24 Sep 2003.
[2] Doktrin Perancangan Sejagat.
[3] Estetika (Venustas), Kekuatan (Firmitas), dan Kegunaan / Fungsi (Utilitas)
[5] Bernard Rudofsky Architecture Without Architects: A Short Introduction to Non-pedigreed Architecture (1964)
[6] Iskandar Shah Halid, Arkitektur Digital : Reka Bentuk Tanpa Arkitek, disertasi, (2002)
[7] [7]The 11th International Architecture Exhibition entitled Out There: Architecture Beyond Building, directed by Aaron Betsky and organised by La Biennale di Venezia presided over by Paolo Baratta, November (2008).

Next
This is the most recent post.
Older Post

0 komen:

Post a Comment